Abang mangsa, Zarul Fitri Muhd Zamrie yang tiba di mahkamah jam 8.45 pagi ditenangkan rakannya.
Keluarga Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, pelajar yang maut akibat dilanggar dan diseret sebuah kereta di Jalan Taman Jati dekat Meru di sini pada Jumaat, mula dapat menerima kehilangannya.
Bapa saudara mangsa, Abdul Razak Judin, 48, berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergian pelajar itu.
“Setakat ini ibu bapa dan keluarga mangsa Alhamdulillah sudah boleh menerima apa yang telah berlaku dan kita semua reda dengan pemergian arwah,” katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Abdul Razak tiba di mahkamah kira-kira jam 8 pagi, bersama-sama dua saudaranya, Mohd Nizam Abdullah, 43 dan Ahmad Faizal Jaafar, 47 bagi mewakili keluarga sebagai pemerhati.
Bagaimanapun, katanya, mereka tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan kerana ia akan dilakukan peguam yang telah dilantik.
Sementara itu, pekarangan Mahkamah Majistret di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, mula dipenuhi oleh orang ramai untuk melihat apa yang berlaku.
Ekoran daripada itu, kawalan keselamatan turut ditingkatkan, termasuk memastikan kelancaran trafik di hadapan bangunan mahkamah.
Kelihatan puluhan pegawai dan anggota polis ditugaskan mengawal keselamatan dan kehadiran orang ramai.
Pegawai kanan polis yang terbabit dalam kejadian pelajar Tingkatan 5 yang maut akibat dilanggar kereta berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati dekat Meru, di sini, dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Ipoh, di sini, pagi ini.
Tertuduh, Mohd Nazri Abdul Razak, 44, yang tiba di mahkamah dengan tangannya digari dari belakang, mengenakan baju T warna putih berseluar hitam dengan kepala ditutup dengan kain, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret S Punitha.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Prosiding bermula jam 9 pagi hanya mengambil masa kira-k kira lima minit.
Pertuduhan dikendalikan oleh sepasukan lapan Timbalan Pendakwa Raya yang diketuai oleh Azlina Rasdi; Khairul Azreem Mamat; Afzainizam Abdul Aziz; Saiful Akmal Mod Said; Nasrul Hadi Abdul Ghani; J S Geetha; Low Qin Hui, dan Wan Azimah Yaacob.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, di Jalan Taman Jati 1, berhampiran SMK Jati, dalam daerah Kinta, di sini, antara jam 12.05 tengah hari hingga 12.40 tengah hari 15 Disember lalu.
Kesalahan itu memperuntuk hukuman mati, atau penjara minimum 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati hendaklah juga dihukum dengan tidak kurang daripada 12 sebatan.
Tertuduh yang berpangkat Deputi Superintendan (DSP) dan bertugas sebagai Pegawai Turus Cawangan Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, diwakili peguam, Jacky Loi Yap Loong dari TY Teh & Partners.
Keluarga terdekat mangsa termasuk abang, Zarul Fitri Muhd Zamrie, 29, selain bapa saudara, Abdul Razak Judin, 48; turut berada dalam kamar mahkamah sama ketika pertuduhan dibacakan ke atas Mohd Nazri.
Tiada jaminan ditawarkan. Azlina memohon tarikh 7 Februari 2024 bagi sebutan semula kes sementara menunggu beberapa laporan termasuk laporan kimia tertuduh.
Mahkamah membenarkan tarikh 7 Februari itu bagi kes disebut semula.
Terdahulu, tertuduh yang dikawal ketat sekurang-kurangnya lima anggota polis lengkap memakai topeng muka dan berpakaian gelap, mengiringi tertuduh sehingga masuk ke kamar mahkamah.
Sebaik prosiding selesai, tertuduh dibawa keluar dari kawasan mahkamah diiringi lima kenderaan bercermin gelap milik PDRM.
Pekarangan mahkamah turut dibanjiri dengan kehadiran saudara dan rakan-rakan mangsa yang hadir sebagai tanda solidariti terhadap ketelusan siasatan kes itu.
Lebih 30 wartawan dan jurugambar dengan sebahagiannya berkumpul di mahkamah seawal jam 7.30 pagi bagi memastikan tidak terlepas membuat liputan kes yang mendapat perhatian umum itu.
Semalam, Jabatan Peguam Negara melalui kenyataan memaklumkan pegawai kanan polis terbabit dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini, dengan pihaknya mendapati terdapat keterangan yang mencukupi untuk mendakwa suspek atas kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Leave a Reply