DIKECAM teruk selepas memuat naik sedutan lagu raya terbaru yang bertajuk ‘Love Raya’, Datuk Seri Aliff Syukri tampil membuat permohonan maaf pada Isnin.
Pada masa sama, usahawan kontroversi itu turut bertindak memadamkan video tersebut dan memaklumkan permohonan maaf tersebut dibuat atas permintaan dan menghormati ibunya.
“Kepada mak saya dan semua masyarakat yang tengok video saya itu, saya minta maaf dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.
“Memang saya kecil hati, saya dah buat susah-susah. Saya dah bayar puluhan ribu pada semua tapi anda semua tak tengok pun lagi video klip tu dah kecam melampau-lampau dan menyebabkan saya ‘down’,” katanya yang mengaku terkesan dengan komen negatif yang dilemparkan oleh netizen.
Pada masa sama, Aliff Syukri turut mengaku kesalahannya dan tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak.
“Saya tak nak bersedih, tak nak marah sesiapa. Saya salahkan diri sendiri.
“Saya sudah padam video itu, padahal banyak lagi orang buat video pelik-pelik tapi tak jadi isu,” katanya.
Terdahulu, Majoriti melaporkan warga maya meminta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengambil tindakan tegas menyekat video ‘Love Raya’ Aliff Syukri kerana dianggap perlekeh orang Melayu dan agama Islam. — Majoriti
Leave a Reply