“Buat kali terakhir, saya ingin ucap tahniah kepada bekas sahabat saya, Ruhainies kerana berjaya meruntuhkan masjid ini dan anak-anak saya hilang bapa mereka.”
Itu luahan Bella Astillah, 30, ditujukan kepada Ruhainies yang sebelum ini ditangkap khalwat dengan Aliff Aziz di sebuah kondominium mewah di sini, pada 9 Mac lalu, hingga membawa kepada kontroversi dan keretakan hubungan Bella dan bekas suaminya itu.
Luahan itu dikongsi Bella atau nama sebenar, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah melalui hantaran Instagram (IG) selepas sah diceraikan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
Bella berkata, perceraian kali kedua bersama Aliff banyak memberi pengajaran kepada dirinya agar tidak mencintai seseorang terlalu dalam.
“Selepas hari ini, saya tidak lagi ingin mencintai seseorang terlalu dalam. Jika berpisah, lukanya pun pasti terlalu dalam.
“Berakhirlah kisah kami. Saya selalu percaya bahawa peluang mampu mengubah seseorang tetapi hanya jika digunakan dengan baik.
“Kesalahan yang dibuat berulang-ulang bukanlah suatu kesilapan akan tetapi, pilihan.
“Saya selalu impikan rumah tangga yang kekal tetapi apabila difikirkan balik, seberapa banyak peluang yang saya beri, namun, pada akhirnya, saya tidak mampu melawan takdir,” katanya.
Tambah Bella dalam hantaran yang sama, perceraian yang berlaku hari ini membuktikan tiada lagi peluang untuk dirinya kembali kepada bekas suaminya itu.
“Sudah cukup memperjuangkan hubungan ini. Tetapi perjuangan ini sia sia kerana saya seorang sahaja yang berjuang.
“Doa saya agar kehidupan baru saya bersama anak-anak dipermudahkan. Saya akan cuba sebaik mungkin menjadi ibu dan bapa yang terbaik untuk mereka.
“Tiada penyesalan, saya terima ini adalah ujian dan pengalaman hidup. Terima kash buat keluarga, sahabat, rakan rakan industri, media dan semua pengikut yang mendoakan kami semua.
“Semoga segala doa yang baik baik berbalik kepada anda semua,” katanya.
Tengah hari tadi, Aliff melafazkan talak di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, di sini.
Kes itu didengar di hadapan Hakim Syarie, Wan Mohd Najib Wan Hamat kira-kira jam 1.10 petang dan mengesahkan lafaz tersebut adalah sah mengikut hukum syarak.
Aliff dan Bella pernah bercerai talak satu pada 16 Mei 2019, namun, rujuk kemudian.
Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4.
Leave a Reply