Suasana pilu menyelubungi Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, sebaik pendakwah selebriti, Da’i Syed dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan kerana merogol seorang wanita berusia 23 tahun.
Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 29, yang memakai baju berkot hijau dan kemeja putih tiba di mahkamah jam 8.54 pagi.
Dia yang datang bersendirian kelihatan tenang pada mulanya namun sebaik prosiding berlangsung dan Hakim Norazlin Othman mensabitkan dia bersalah atas tuduhan itu, pendakwah itu dilihat menangis di kandang tertuduh.
Norazlin kemudian meminta semua pihak membuat rayuan sebelum menjatuhkan hukuman, bagaimanapun peguam Syed Amirul Syed Edros yang mewakili pakar motivasi itu meminta kepada mahkamah menangguhkan prosiding sementara bagi membolehkan berbincang dengan anak guamnya.
Sejam kemudian, kelihatan isteri Syed Shah Iqmal, Nurulhana Ismail, 38, yang sedang berpantang anak pertama tiba di mahkamah dan berjumpa suaminya serta dilihat berada di sisi lelaki itu.
Sebaik prosiding bersambung, pendakwaan dan pembelaan mula berhujah mengenai mitigasi hukuman.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Norazlin memerintahkan pendakwah itu dipenjara dan sebat atas alasan tindakan tertuduh merogol mangsa tidak dapat diterima akal.
Nurulhana yang berada di galeri awam dilihat menangis manakala Syed Shah Iqmal menangis teresak-esak di kandang tertuduh.
Selesai prosiding, Nurulhana terus menerpa ke arah suaminya dan memeluk lelaki itu sambil menenangkan keadaan.
Syed Shah Iqmal terus digari untuk dibawa ke Penjara Kajang.
Lebih memilukan, kelihatan ahli keluarga lain membawa bayi mereka yang berusia 16 hari untuk berjumpa pendakwah itu di mahkamah sebelum dihantar ke penjara.
VIDEO
Leave a Reply