Enggan jadi beban disebabkan masalah kesihatan, Angah umum tinggalkan Sinar

PENYAMPAI radio dan pelawak Angah mengejutkan peminat apabila mengumumkan pengundurannya sebagai deejay stesen radio Sinar pada pagi Rabu.

Angah atau Iskandarsah Hashim, 46, memberitahu keputusan meninggalkan kerjaya di stesen radio tersebut adalah disebabkan dia mengalami masalah kesihatan.

Bagaimanapun Angah tidak menjelaskan secara terperinci masalah kesihatan dihadapi sehingga mengambil keputusan tersebut.

Angah bersama rakan penyampai Rahim dan Jep yang mengendalikan segmen Pagi Di Sinar.

Menurut Angah lagi, tindakan itu juga kerana tidak mahu membebankan rakan-rakan penyampai lain kerana sering mengambil cuti sakit.

“Ini tentang kesihatan. Saya tak mahu asyik bercuti dan ganggu kawan-kawan lain,” katanya.

Angah menjelaskan perkara itu ketika tampil dalam segmen Pagi Di Sinar bersama rakan penyampai Jep dan Rahim.

Tambahnya dia masih memerlukan kerja namun tidak mahu komitmen terganggu disebabkan masalah yang dialami.

“Saya tak datang sebelum ini bukan sengaja. Saya tak mahu bangun pagi tiba-tiba sakit dan tak boleh bekerja.

“Saya masih perlukan kerja,” katanya.

Angah sebelum ini pernah mendedahkan dia berdepan masalah diabetes selain darah tinggi.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*