POLIS mengesahkan pemandu Toyota Camry yang bertindak menghalang laluan ambulans ada masalah psikiatri dan telah dibawa ke balai polis bagi siasatan lanjut.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Asisten Superintendan Sarifudin Mohd Salleh berkata, kejadian berlaku di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR) dari arah Lotus Ampang ke Hotel Flamingo pada 5.35 petang semalam.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika ambulans dalam perjalanan dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia ke Ulu Kelang.
“Sampai di lokasi, pemandu Camry yang berada di hadapan ambulans tidak memberi laluan meskipun siren penugasan kecemasan membawa pesakit telah dipasang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, pemandu ambulans telah tampil ke balai polis trafik manakala pemandu Camry dibawa ke balai bagi tindakan lanjut.
Katanya, pemandu yang merupakan seorang wanita berusia 41 tahun itu bagaimanapun didapati menghadapi masalah psikiatri dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan laporan perubatan.
Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
sumber: utusan
Leave a Reply