Selepas penyanyi kumpulan Spider, Rustam Mustafah atau lebih dikenali sebagai Tam mendedahkan anak lelakinya yang berusia 14 tahun menjadi mangsa buli, beberapa ibu bapa di sekolah sama tampil mendedahkan perkara serupa.
Salah seorang ibu, Sharifah Intan Nor Jahin, 44, berkata, pihaknya menggesa agar enam orang yang disyaki pembuli itu diambil tindakan dengan buang sekolah.
“Sepatutnya pembuli ini sudah dibuang sekolah. Ini disebabkan yang pembuli (tingkatan lima sekarang) akan membuatkan tingkatan empat (yang ada kini) apabila mereka naik tingkatan lima akan jadi pembuli juga.
“Kitaran buli ini tak akan habis,” katanya kepada Harian Metro.
Difahamkan satu perjumpaan sudah diatur membabitkan pihak sekolah bersama ibu bapa atau penjaga tingkatan dua pagi ini.
Dalam perjumpaan itu, satu tindakan dicapai membabitkan pihak sekolah dan ibu bapa pelajar tingkatan dua.
Mengulas lanjut, Sharifah Intan yang juga suri rumah berkata, anaknya yang kini di tingkatan dua dibuli tiga kali sejak akhir tahun lalu hingga kini.
Dakwanya, anaknya itu dipukul di perut, dada dan leher oleh pembuli dan beberapa laporan polis dibuat olehnya bersama suami.
Seorang bapa, Mohamad Faisal Mohd Aziz, 46, berkata, dia mengetahui anaknya dibuli oleh pelajar tingkatan lima pada tahun ini.
“Kami dapat tahu tahun ini. Anak saya kena pukul secara berjemaah (oleh pembuli),” katanya.
Dia yang juga seorang pemuzik berkata, disebabkan itu pihaknya menggesa agar pihak sekolah membuang pembuli itu.
“Di tempat kerja pun kita dibuli. Buli ini di mana-mana. Tapi kalau dah buli membabitkan kaki, tangan, bagi saya tak patut. Itu sudah lain. Itu bukan buli.
“Bukan kita nak manjakan anak kita, kalau betul anak kita salah, buat (tindakan). Kita bukan jenis ibu bapa yang anak kena rotan serang sekolah. Tidak.
“Kalau betul itu kesalahan anak kita, buat (tindakan),” katanya yang turut membuat satu laporan polis.
Seorang lagi bapa yang juga pelakon, Khir Rahman, 51, berkata, pihak sekolah sewajarnya mengambil tindakan serta-merta apabila adanya kejadian buli.
Dia turut mempersoalkan mengapa pihak sekolah sukar mengambil tindakan terhadap pembuli selepas adanya laporan polis dibuat oleh ibu bapa pelajar.
“Kenapa laporan polis itu menjadikan susah pula diambil tindakan. Sebenarnya bila buat laporan polis itu tindakan jadi mudah (dan) lebih membantu.
“Kenapa bila sudah jadi kes polis, sekolah tidak boleh ambil tindakan? Patutnya ambil tindakan serta-merta. Saya pun tak tahu siapa menyalahkan sistem siapa,” katanya.
Dia turut melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan anaknya susulan kejadian buli itu.
“Yang enam orang membuli ini jelas, terbukti dan bersaksi, dia salah kena bawa keluar, buang sekolah. Buang sekolah maksudnya bukan terus buang.
“Mungkin ada satu proses macam mana nak hukum seperti dua tiga bulan tak boleh duduk asrama. Dia kena tahu akibat,” katanya.
Leave a Reply