USAHAWAN sensasi Liana Rosli berkongsi pengalaman pahit apabila pemandu van persendirian memegang tangannya ketika dalam perjalanan dari Makkah ke Madinah.
Liana atau mesra disapa Kak KM memberitahu dia takut untuk bertindak kerana bimbang akan ditinggalkan dan hanya memberi amaran kepada pemandu berbangsa Arab tersebut agar tidak menyentuhnya lagi.
“Dia pegang tangan saya, mestilah saya marah dia dan beritahu perbuatannya itu salah. Saya seorang wanita dan dalam keadaan berwuduk.
Kak KM membuat laporan kepada wakil agensi (kanan).
“Kalau nak ke sana, ke sini memang kita akan berhenti untuk solat. Jadi saya memang sentiasa ada wuduk.
“Kejadian berlaku ketika kami dalam perjalanan ke Madinah. Perjalanan pula memang lama, jadi saya tak berani nak kurang ajar takut dia tinggalkan saya tepi jalan pula,” katanya ketika dihubungi mStar pada Sabtu.
Dalam pada itu, Liana memberitahu dia membuat laporan tentang sikap lelaki berkenaan kepada wakil agensi umrah sebelum perkara itu dipanjangkan kepada pihak berkuasa.
Liana turut meluahkan rasa kesal kerana perkara sedemikian berlaku walaupun mengambil kenderaan persendirian yang sepatutnya menawarkan perkhidmatan terbaik.
“Kita naik kenderaan untuk penumpang VIP dan sepatutnya perkara seperti itu tidak akan berlaku tetapi pemandu berkenaan nak mengurat saya pula!
“Saya mengadu kepada wakil agensi dan perkara itu sudah pun dibawa kepada pihak polis. Tapi saya tak pasti tindakan apa dikenakan kepada pemandu tersebut,” katanya.
Sebelum ini, Kak KM memuat naik video di TikTok memaparkan situasi di mana wakil agensi umrah sedang berkomunikasi dengan pihak pengurusan pemandu van di Madinah gara-gara laporan gangguan yang dibuat.
Pemandu berkenaan bagaimanapun tidak mengaku perbuatan tersebut sebaliknya memberi alasan hanya ingin memberikan air kepada usahawan tersebut.Liana berangkat ke Tanah Suci Makkah pada 7 Julai lalu ditemani dua orang ibu saudaranya.
Leave a Reply