“Sy nampak anak2 dlm kereta..” – Ditolak suami ke dalam gaung. Isteri nekad merangkak naik 9 jam demi selamatkan anak

Dua anak masih kecil menjadi sumber kekuatan buat wanita yang ditolak suaminya ke dalam gaung di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, di sini, 27 Julai lalu untuk merangkak naik menyelamatkan diri.

Perkara itu didedahkan Ketua Operasi Ambulans Murtadha Dakwah Centra Madad, Muhammad Ridzuan Osman, 36, yang diberi kepercayaan untuk menghantar mangsa pulang ke kampungnya di Kelantan selepas dibenarkan keluar dari Hospital Taiping, Taiping, hari ini.

Menurut Muhammad Rizuan yang mesra disapa ‘Dik Wan’, perkara itu diceritakan sendiri oleh mangsa berusia 32 tahun itu dengan menurutnya, mangsa mengalami kecederaan tulang belakang, patah pinggang, tulang pinggul retak, patah tangan serta kecederaan pada paru-paru.

“Disebabkan beliau ingatkan anak-anaknya yang masih kecil berusia lima bulan dan enam tahun, beliau berusaha juga untuk selamatkan diri.

“Beliau ditolak jatuh ke gaung kira-kira jam 5 pagi dan pada jam 2 petang baru beliau dapat naik ke atas dan minta bantuan orang ramai.

“Kira-kira 9 jam beliau (mangsa) berusaha untuk selamatkan diri selepas ditolak ke dalam gaung sedalam lebih 10 meter oleh suaminya dalam keadaan tulang belakang L1-L5 mengalami patah, pecah serta retak dan kecederaan lainnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Muhammad Ridzuan turut memuatnaik hantaran di Facebook (FB) Murtadha Dakwah Centre, hari ini mengenai gerak kerja pasukan ambulans percuma yang dikendalikan olehnya itu dengan memaparkan gambar mangsa sedang dibawa menaiki ambulans badan bukan kerajaan (NGO) terbabit untuk dihantar pulang.

Team Madad Ambulans hantar Ustazah yang ditolak jatuh ke dalam gaung oleh suaminya di Gerik baru-baru ni dari Hospital Taiping, Perak hantar balik ke Kelantan. Sedih dengar cerita dia,” tulis hantaran itu.

Menurut Muhammad Rizuan lagi, mangsa menceritakan kepadanya bahawa ketika kejadian suami mangsa menolaknya jatuh ke gaung, dua anak pasangan itu turut berada di dalam kereta sama dinaiki mereka.

“Anak mereka baru berusia lima bulan dengan enam tahun. Mangsa mengatakan dia usaha juga untuk naik walaupun sampai lebih kurang sembilan jam diperlukan untuk mendaki sepuluh meter kedalaman gaung itu.

“Mangsa katakan dia sudah tidak ingat apa-apa semasa itu melainkan dia cuma nampak anak dia saja yang sewaktu kejadian turut berada dalam kereta dinaiki mereka,” katanya.

Terdahulu, suspek kes itu iaitu suami wanita berkenaan berusia 39 tahun direman tujuh hari bermula 6 Ogos lalu sehingga Isnin ini bagi disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu kerana cubaan membunuh.

Suspek berjaya ditangkap pada 31 Julai lalu oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, Kedah kerana suspek mencederakan abang kandungnya.

Suspek kemudiannya ditangkap semula oleh polis IPD Gerik pada 5 Ogos lalu iaitu sejurus siasatan kes mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera di IPD Baling selesai.

Suspek dikatakan cuba membunuh isterinya yang berusia 32 tahun dengan cara mencekik serta menolak mangsa ke gaung yang difahamkan sedalam 10 meter hingga mengalami kecederaan yang difahamkan termasuk patah dan retak tulang belakang.

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*