Mungkin bagi sesetengah selebriti terbuka berkongsi keputusan peperiksaan, sebaliknya penyanyi Zaki Yamani lebih selesa merahsiakan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diperoleh Mei lalu.
Zaki atau nama sebenarnya, Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah, 18, berkata, dia memilih menyimpan perkara itu sebagai privasi miliknya.
“Sebenarnya lebih baik saya tidak beritahu keputusan SPM sebab memang sejak awal lagi, bila ditanya soal sasaran, saya pun tak nak beritahu, tapi ramai memaksa. Tak mengapa benda yang lepas saya biarkan.
“Bagi saya, ia adalah privasi dan tidak semua perkara boleh dihebohkan. Saya memilih tidak beritahu dan saya hanya memikirkan masa depan sahaja,” katanya kepada BH Online.
Sebelum ini, anak kepada penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah itu secara terbuka berkongsi sasaran SPM sebanyak 7A, namun memilih tidak berkongsi sebaik sahaja keputusan peperiksaan diumumkan.
Berkongsi perancangan masa depan, Zaki berkata, dia sudah menerima tawaran dari beberapa institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) dan institusi pendidikan tinggi awam (IPTA). Justeru, kini, dalam proses pemilihan dan pertimbangan.
“Alhamdulillah, saya ditawarkan menyambung pengajian di beberapa universiti sama ada IPTA dan IPTS. Ada juga menawarkan saya menjadi duta.
“Insya-Allah, saya akan cuba cari jurusan bersesuaian sebab saya berhasrat mendalami bidang muzik, bukan hanya nyanyian,” katanya ketika pada acara Meet and Greet Zaki Yamani, di ibu kota, baru-baru ini.
Menjawab rezekinya ditawarkan oleh pelbagai IPTS dan IPTA, Zaki berkata, dia hanya mampu bersyukur atas rezeki diterimanya.
“Saya hanya bersangka baik, mungkin apa yang saya terima ini adalah rezeki. Saya pun belum berfikir nak pilih mana. Saya pun kurang pasti berapa tawaran kerana perkara ini dimaklumkan oleh ibu.
“Ada yang bertanya sama ada saya berminat nak sambung pengajian di institusi pendidikan mereka.
“Saya terharu sebab ada juga yang mahukan saya, tapi dalam sasaran saya sekarang adalah Universiti Teknologi Mara (UiTM). Saya sudah menjalani temu duga, cuma sekarang masih menunggu,” katanya.
Zaki terima tawaran dari beberapa IPTS dan IPTA, kini dalam proses pemilihan dan pertimbangan.
Ulas lanjut, Zaki kata, dia akan tetap menyanyi dan cuba membahagikan masa dengan baik biarpun menyambung pengajian.
“Saya tetap akan menyanyi sambil belajar, sama seperti apa yang saya lakukan di sekolah dulu. Tapi, masa di sekolah mungkin jadual terlalu padat, sebab sekolah lima hari seminggu. Dalam seminggu, satu atau dua hari saya tak hadir.
“Kalau ada ‘shoot’ apa-apa mungkin empat atau lima hari tak datang sekolah, jadi kena ganti dan kini, saya sudah habis sekolah.
“Tapi bila masuk universiti saya harap dapat atur jadual kerana pengajian saya lebih relaks berbanding sekolah,” katanya.
Mengulas acara Meet and Greet Zaki Yamani, anak kedua Jamal itu berkata, acara itu diadakan oleh peminatnya.
Katanya, dia sangat terharu dengan tenaga dan masa diberikan oleh peminat buat dirinya.
“Ini semua takkan terhasil tanpa peminat. Saya sangat bersyukur sebab mereka menjadi penyokong saya sejak menyertai program realiti, Famili Duo di TV3 sehingga sekarang.
“Kali terakhir saya bertemu mereka, dua tahun lalu. Tahun ini, peminat nak raikan, jadi saya sangat berbesar hati.
“Sebelum ini, saya buat sendiri dan kali kedua bersama ibu. Kali ini, saya bersyukur peminat pula bertungkus lumus.
“Jujurnya, saya tiada apa-apa tanpa peminat,” katanya yang merancang mengeluarkan single baharu, hujung tahun ini.
Terdahulu, Zaki dan abangnya, Yamani Abdullah diumumkan juara musim kedua Famili Duo. Dengan kemenangan itu, mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000.
Leave a Reply