Siapa sangka suami kepada Adira Suhaimi iaitu Datuk Seri Adnan Abu yang dikenali sebagai ahli perniagaan berjaya rupa-rupanya sudah lima tahun tiada kerja selepas perniagaannya diisytihar bankrap pada 2019.
Selepas diisytihar bankrap, Adnan atau lebih mesra disapa Datuk Red berkata, dia selama ini terpaksa menumpang belas ihsan isteri keduanya Adira.
Dia juga mengakui baru sahaja membuka akaun TikTok dan memuat naik hantaran mencari pekerjaan demi menyara keluarganya.
“Macam inilah kehidupan, betul saya sedang mencari kerja. Saya sebenarnya sudah diisytiharkan bankrap sejak 2019.
“Selagi tak usaha selagi itulah tak tahu! Perkongsian cari pekerjaan di TikTok itu saya beranikan diri sahaja. Malu belakang kira.
“Saya tak boleh tinggal diam biarkan orang rumah tanggung saya. Saya tak kisah kerja apa janji halal,” katanya seperti dilapor mStar.
Dalam pada itu, Datuk Red berkata sepanjang lima tahun itu pelbagai usaha dilakukan bagi mencari perkerjaan tetap, namun tidak membuahkan hasil.
Malah, dia juga pernah disarankan untuk menjadi pemandu e-hailing namun tidak cukup untuk membayar hutang-hutangnya.
“Saya ini terlalu banyak hutang… sampai berjuta-juta. Ada yang cadangkan suruh saya jadi pemandu e-hailing tapi itu sekadara melepaskan tengkuk saya saja.
“Saya pun ada tanya kawan-kawan saya untuk jadi ejen-ejen baju Melayu tapi mereka tak balas mesej saya.
“Nyawa saya pun sudah tidak lama, takkan saya nak mati dengan hutang.” luahnya.
Mengakui penat berdepan ujian hidup, Datuk Red berkata dia pernah terfikir untuk menamatkan hidupnya.
Dia bagaimanapun bersyukur kerana masih memiliki pegangan agama dan menganggap kepayahan dilalui ini sebagai ujian hidup.
“Kadang-kadang sampai terfikir kalau ada mesin tarik nyawa memang saya nak cuba sebab sudah tak larat.
“Tapi bila fikir anak-anak dan agama saya terus kuat. Tapi jujurnya saya memang tertekan dan turun,” katanya.
Dalam pada itu, Adnan turut meluahkan rasa syukur apabila isterinya iaitu Adira banyak membantu dalam rumah tangga mereka.
Malah dia berharap orang ramai tidak menyalahkan isteri-isterinya sebaliknya mengambil kisah dikongsi ini sebagai satu pengajaran.
“Selama ini Adira yang banyak tolong saya. Saya harap kisah saya ini orang tak kaitkan dengan dia
“Dia pun manusia biasa ada keinginan, sudah lima tahun dia (Adira) tanggung biawak hidup,” katanya lagi.
Pada 25 Oktober tahun lalu, Adira atau Siti Adira Suhaimi, 32, memfailkan penceraian terhadap Adnan atas alasan tiada lagi persefahaman.
VIDEO:
Leave a Reply