Norhisham Samsusah mendedahkan rangka adiknya, Mila Sharmila atau Bella yang didakwa dibunuh oleh teman lelakinya, ditemui dalam keadaan tidak sempurna tanpa kaki dan tangan di sebuah rumah terbiar pada Jumaat minggu lalu.
Dalam hantaran terbaru melalui Facebook, Norhisham, 36, memaklumkan bahawa pihaknya begitu terkejut apabila melihat keadaan rangka Bella, 32, ketika jenazah dimandi dan dikafankan di Hospital Sultan Ismail (HSI) pada Rabu lalu.
“Selesai urusan, tiba masa tuntut jenazah di Forensik HSI. Allahuakbar… Allahuakbar… terkejut saya apabila tengok rangka Bella hanya tinggal beberapa sahaja macam ‘secoet’.
“Hancur hati sehancur-hancurnya apabila terima (jenazah) Bella dalam keadaan macam ini. Kenapa buat adik saya macam ini? Hanya tengkorak kesan pecah kena hentak benda tumpul, rongga mata ada satu.
“Tulang rusuk, punggung… itu sahaja. Mana kedua-dua kaki dan tangan Bella? Rasa macam nak memberontak… nak mengamuk… nak menjerit sekuat hati bagi semua tahu betapa hancur hati saya.
“Namun, apakan daya… saya hanya seorang kakak yang memperjuangkan pencarian adik tetapi saya dapat rangka yang tidak sempurna,” tulisnya.
Norhisham atau lebih dikenali sebagai Ayu berkata, beliau bersama ibu dan seorang ustazah hanya mampu menitiskan air mata ketika memandikan jenazah rangka Bella.
Beliau berkata, mereka terpaksa mengeluarkan kotoran dalam tengkorak sambil air mata berlinangan mengenangkan azab ditanggung Bella ketika kejadian.
“Kenapa diperlakukan dengan sangat kejam… sangat zalim? Kenapa buat Bella sehingga begitu tragik? Kami tersangat rapuh dalam situasi ini. Kenapa pengakhiran pencarian saya macam ini? Siapa boleh carikan untuk saya selepas 36 hari?
“Saya hendak (rangka) Bella ‘complete’ (sempurna). Tolonglah faham perasaan yang saya rasa. Besar sungguh dugaan yang saya dan keluarga hadapi ketika ini.
“Emak saya kehilangan Bella tetapi masih ada saya. Tapi saya hilang adik, siapa lagi yang ada untuk saya? Kosong!” tulisnya.
Dalam pada itu, Norhisham turut menjawab persoalan sesetengah pihak mengenai tindakannya yang dilihat sebagai ‘di luar dugaan’ ketika teman lelaki Bella, Mohammad Haikal Mahfuz, 24, dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, Rabu lalu.
“Selepas pertuduhan di mahkamah, ada yang mempertikaikan kenapa lebih-lebih nak ada rusuhan. Perasaan mendidih marah itu datang tiba-tiba apabila tengok tertuduh.
“Bersusah payah, siang malam saya mencari Bella… tanya sana sini… masuk ceruk-ceruk, (dakwaan) rupanya dia tahu sesuatu tetapi disorok.
“(Dakwaan) Terbayang muka penipuan dia, ‘saya tak tahu kak, saya dah tinggal dia di tepi jalan, ada orang ambil’… tetapi sebenarnya (dakwaan) kau sudah bunuh dia.
“Keadaan sangat emosi, hancur terluka, marah semua ada. Saya sudah beritahu awal-awal, ‘boyfriend’ (teman lelaki Bella) (didakwa) tahu sesuatu,” katanya.
Leave a Reply