Datuk Red dah 5 tahun tiada kerja, kasihan pada Adira tanggung ‘biawak hidup’

SELEPAS lima tahun tiada pendapatan tetap, usahawan Datuk Seri Adnan Abu atau dikenali sebagai Datuk Red nekad mencari pekerjaan baharu bagi menampung kehidupannya dan keluarga.

Suami kepada penyanyi Adira itu mengundang perhatian warga netizen selepas memuat naik sebuah hantaran sedang mencari pekerjaan dalam akaun TikToknya hari ini.

Menerusi perkongsian yang dimuat naik Datuk Red itu, dia berharap ada pihak yang sudi memberinya pekerjaan ketika ini.

“Misi mencari pekerjaan. Harap ada sudi memberi,” katanya.

Menjengah ruangan komen, Datuk Red menjelaskan tujuan mencari pekerjaan adalah untuk melunaskan hutang dan mencari rezeki buat anak-anaknya.

“Terima kasih semua, saya nak mencari rezeki demi anak-anak dan membayar hutang.

“Semoga tuan semua dimurahkan rezeki, bantu ikuti akaun TikTok saya,” katanya.

Sementara itu, Datuk Red berkata dia pernah terfikir menamatkan hidupnya namun bersyukur masih memikirkan tentang anak-anak serta agama.

Tambahnya lagi, dia turut meluahkan rasa syukur Adira banyak membantu dalam rumah tangga serta berharap orang ramai tidak menyalahkan isteri-isterinya.

“Selama ini Adira yang banyak tolong saya. Saya harap kisah saya ini orang tak kaitkan dengan dia. Dia pun manusia biasa ada keinginan, sudah lima tahun dia (Adira) tanggung biawak hidup,” katanya.

Susulan hantaran itu, rata-rata netizen mula membuat andaian bahawa keputusan dua isteri Datuk Red iaitu Datin Red dan Adira yang mahu bercerai dengannya baru-baru ini adalah disebabkan hutang.

Tidak kurang juga ada yang menyarankan dia aktif dalam media sosial yang juga boleh menjana pendapatan lumayan.

Pada Januari lalu, Isteri pertama Datuk Red, Datin Syarifah Nor Shafila memfailkan perceraian namun Datuk Red enggan menceraikannya.

Dalam pada itu, Adira turut memfailkan perceraian kerana tiada persefahaman di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat Rawang, Selangor pada 25 Oktober tahun lalu.

Namun, proses mendengar laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, pada 5 Mac lalu gagal menemui jalan penyelesaian dan mahkamah melanjutkan kepada proses Hakam yang akan berlangsung pada 24 April 2024.

Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4 dan Ayob yang kini berusia setahun. -Malaysiapost

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*