Kes kebakaran yang meragut nyawa tiga sekeluarga di sebuah rumah di Kampung Paya Redan, Pagoh, pagi semalam kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata ia berikutan laporan bedah siasat ke atas ketiga-tiga mangsa mendapati terdapat unsur jenayah terhadap mereka yang menyebabkan kematian.
Beliau berkata, susulan laporan itu, kes yang pada awalnya disiasat sebagai mati mengejut kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
“Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 436 serta Seksyen 326 kanun sama.
“Seksyen 436 ialah melakukan khianat menggunakan api, manakala Seksyen 326, menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata kepada mangsa yang hidup.
“Usaha mengesan suspek utama kejadian kebakaran itu yang dikenali sebagai Azman Mohamed, 48, masih giat dilakukan. Jadi, kita meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki terbabit supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Siti Rohayu Salih di talian 016-2199592 atau hubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, 06-9564800 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Raiz Mukhliz dalam kenyataan media berkata, polis giat mengesan lelaki terbabit bagi membantu siasatan berhubung kebakaran yang meragut nyawa tiga sekeluarga itu.
Suspek adalah anak pasangan warga emas yang maut dalam kebakaran itu, Mohamed Yassin, 82, dan Ara Abd Hamid, 76. Seorang lagi mangsa yang meninggal dunia dalam tragedi itu ialah anak saudara suspek, Noradriana Nor Hisyam, 11.
Lelaki itu yang masih bujang dilaporkan menghilang diri selepas kejadian itu dengan menunggang motosikal.
Ketika kejadian pada kira-kira jam 1.30 pagi semalam, suspek berlima tinggal di rumah terbabit, namun seorang daripadanya iaitu kakak kepada Noradriana, Norazima Mohd Radhi, 14, terselamat dan kini menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).
Leave a Reply