Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim yang hilang di sempadan Malaysia-Brunei ketika bertugas dalam Op Ukur di Limbang, Sarawak sejak 18 Jun lalu, ditemui selamat pada Sabtu.
Sel Perhubungan Raya Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam satu kenyataan memaklumkan, anggota tentera itu dijumpai pada jam 11.29 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).
Menurut kenyataan itu, Prebet Muhammad Syafiq berjaya menjejaki tanda-tanda panduan laluan rintis pencarian yang sengaja dibuat di sekitar lokasi pencarian sehingga beliau berjaya menemui lokasi Forward Operating Base (FOB) Tim A.
“Beliau ditemui dalam keadaan selamat lengkap bersama peralatan dan senjata, namun lemah akibat kelaparan dan dehidrasi sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan di lokasi.
“Pihak keluarga anggota (tentera) ini juga telah dihubungi oleh pihak TDM menerusi panggilan telefon dan akan diterbangkan ke Sarawak dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Jelasnya, semua perbelanjaan perjalanan akan ditanggung sepenuhnya oleh TDM.
Dalam pada itu, pihak TDM mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam operasi itu khususnya kepada kerajaan Sarawak, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem), individu serta semua yang terlibat atas kerjasama dan komitmen yang diberikan sehingga Prebet Muhammad Syafiq berjaya ditemui.
Tambah kenyataan itu, TDM juga merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) sepanjang operasi SAR ini dijalankan.
“Kerjasama erat TDM dan ABDB dalam operasi ini telah membuktikan hubungan dua hala yang kukuh antara kedua-dua negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, TDM juga akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan sebagai penambahbaikan kepada prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.
“Berikutan penemuan Prebet Muhammad Syafiq dalam keadaan selamat, maka operasi SAR ini ditamatkan,” katanya.
Sebelum ini, Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia (TDM) memaklumkan, seorang anggota tentera Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) berpangkalan di Kem Kidurong, Bintulu, hilang ketika bertugas dalam Op Ukur di Limbang, Sarawak.
Leave a Reply