Selepas 14 hari hilang akibat terjatuh dari jambatan, jasad peniaga kosmetik, Norhisyam Ismail, akhirnya ditemukan di pesisir pantai di Kuala Besar, di sini, semalam.
Jasad Norhisyam, 43, ditemukan kira-kira jam 6 petang oleh seorang pemancing yang ternampak objek seakan tubuh manusia terdampar di pesisir pantai.
Saksi kejadian, Mohd Faizal Ibrahim, 44, berkata dia dihubungi rakannya yang meminta datang ke lokasi untuk memastikan objek yang dilihat sebelum bergegas ke lokasi iaitu di Pulau Kuda.
“Rakan saya ingin memancing dan mencari bekas di sekitar lokasi untuk membuang air dalam botnya sebelum ternampak objek seakan tubuh manusia.
“Dia segera menghubungi saya dan sebaik tiba, saya melihat lebih dekat dan sahkan memang objek itu adalah badan manusia yang tertiarap dan berpakaian lengkap.
“Keadaannya sudah membengkak serta agak berbau dan saya segera menghubungi pihak berkuasa untuk memaklumkan penemuan mayat itu,” katanya ketika ditemui di sini, malam tadi.
Turut berada di lokasi penemuan adalah ahli keluarga termasuk isteri mangsa yang mengesahkan jasad itu adalah milik suaminya berdasarkan pengecaman pada tali pinggang dan seluar yang dipakai.
Mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini untuk proses bedah siasat.
Dalam kejadian jam 6.48 petang pada 15 Januari lalu, Norhisyam dikatakan terjatuh ke Sungai Kelantan ketika berada di atas Jambatan Tendong, Pasir Mas dekat sini.
Leave a Reply