Suami kepada wanita terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawa tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun pada Rabu lalu, dengan penuh rasa rendah diri memohon maaf kepada semua keluarga mangsa yang terkesan dengan kejadian itu.
“Jika boleh, saya ingin bersujud di hadapan mereka untuk memohon maaf bagi pihak isteri saya,” kata Azhar, 53.
Seboleh-bolehnya dia mahu bertemu dengan keluarga mangsa untuk memohon maaf bagi pihak isterinya sejurus selepas kejadian itu berlaku.
Namun, rakan-rakan dan pihak polis menasihatkannya untuk menangguhkan hasratnya itu sehingga keadaan kembali tenang kerana bimbang ‘kedatangannya’ disalahertikan.
Bapa mangsa terima permohonan maaf, namun….
“Sebagai seorang Muslim, saya maafkan dia,” kata Jamaludin Hussin, 53, bapa kepada salah seorang mangsa yang terkorban dalam kejadian itu.
Walaupun dia telah memaafkan Azhar, Jamaludin mengakui dia dan keluarganya masih berada dalam keadaan bersedih di atas kehilangan anak bongsunya, Allahyarham Khairil Anwar, 20, dan belum bersedia untuk bertemu dengan suami wanita tersebut.
“Saya reda dengan apa yang telah berlaku, saya maafkan dia. Jika tidak, dendam itu tidak akan pernah berakhir. Namun, saya tetap akan mengambil tindakan undang-undang demi keadilan untuk arwah anak saya,” tambahnya.
Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 7.20 malam, Rabu lalu, seorang suri rumah yang dipercayai mengalami masalah mental telah ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan selepas melanggar empat pelajar UiTM Dungun dengan SUV Honda CR-V yang dipandunya.
Kemalangan tersebut meragut nyawa Khairil Anwar Jamaludin, 20, Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, dan Muhammad Akmal Md. Tukirin, 25. Seorang lagi rakan mereka, Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, pula mengalami kecederaan parah.
Menurut Azhar, dia hanya menyedari isterinya keluar memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CR-V selepas dia dan anak lelakinya selesai menunaikan solat maghrib.
Leave a Reply