Memikirkan tentang nasib dua anak kecilnya, seorang wanita yang ditolak suami ke dalam gaung dalam kejadian berhampiran Kilometer (KM) 31.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli pada 27 Julai lalu, nekad untuk merangkak naik demi menyelamatkan diri.
Detik hitam ini diceritakan oleh mangsa sendiri kepada Ketua Operasi Ambulans Murtadha Dakwah Centre (Madad), Muhammad Ridzuan Osman, 36, yang diberi tanggungjawab untuk membawa mangsa pulang ke kampung halamannya di Kelantan setelah dibenarkan keluar dari Hospital Taiping pada Sabtu.
Menurut Muhammad Ridzuan, mangsa yang berusia 32 tahun itu mengambil masa sembilan jam untuk kembali ke atas walaupun mengalami kecederaan parah pada tulang belakangnya.
“Dia mengalami kecederaan tulang belakang patah, pecah dan retak, pinggang patah, tulang pinggul retak, patah tangan serta kecederaan pada paru-paru selepas ditolak jatuh gaung oleh suaminya kira-kira jam 5 pagi.
“Disebabkan beliau ingatkan anak-anaknya yang masih kecil berusia lima bulan dan enam tahun, beliau berusaha juga untuk selamatkan diri,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Mengulas lanjut, beliau berkata, mangsa dipercayai ditolak ke dalam gaung sedalam lebih 10 meter, menyebabkan keadaan tulang belakang L1-L5 mengalami patah, pecah, serta retak dan kecederaan lain.
“Mangsa ditolak pada jam 5 pagi tapi 2 petang baru dia dapat naik ke atas dan minta bantuan orang ramai.
“Dua anak dipercayai turut berada bersama dia dan suspek dalam kereta ketika kejadian,” ujarnya.
Muhammad Ridzuan juga berkongsi tentang proses penghantaran mangsa yang diuruskan oleh pasukan ambulans percuma mereka melalui Facebook Murtadha Dakwah Centre pada Sabtu.
Sebelum ini, suspek kes tersebut telah ditahan reman selama tujuh hari bermula 6 Ogos lalu sehingga Isnin ini bagi siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh.
Suspek ditahan pada 31 Julai lalu oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, Kedah, kerana terlibat dalam kes mencederakan abang kandungnya.
Selepas itu, suspek sekali lagi ditangkap oleh polis IPD Gerik pada 5 Ogos lalu selepas siasatan kes di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera di IPD Baling selesai.
Suspek disyaki cuba membunuh mangsa dengan mencekik dan menolak mangsa ke dalam gaung yang dipercayai sedalam 10 meter, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan seperti patah dan retak tulang belakang.
Mangsa ditinggalkan di lokasi kejadian dan dilaporkan merangkak naik ke arah jalan raya walaupun mengalami kecederaan, sebelum ditemui oleh orang awam yang segera menghubungi pihak polis.
Mangsa kemudiannya dibawa oleh ambulans ke Unit Kecemasan, Hospital Gerik bagi rawatan awal susulan didapati mengalami kesan calar, luka serta lebam pada tubuh badan, sebelum dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.
Sumber: Sinar Harian
Leave a Reply