“Keadaan Jahidah masih sama macam dulu, langsung tak boleh bergerak, hanya terlantar atas katil tak boleh bercakap dengan orang lain,” kata Nordin Kassim.
Nordin, 70, ialah bapa kepada Jahidah, 46, kakitangan jabatan kerajaan yang didakwa dipukul suaminya sehingga koma dalam kejadian di Larkin, tiga tahun lalu.
Pada 15 Mac tahun lalu, Mahkamah Rendah Syariah Seremban dilapor membenarkan permohonan fasakh yang difailkan keluarga Jahidah terhadap suaminya, Rosmaini Abd Raof, 41, pada 1 Februari sebelumnya.
Nordin, pesara dari Keningau, berkata pihak keluarga berharap penderitaan ditanggung anak sulung itu sejak hampir tiga tahun lalu, akan terbela.
“Harapan besar keluarga segala penderitaan Jahidah akan mendapat pembelaan sewajarnya, itu harapan kami yang sedih mengenangkan apa berlaku terhadapnya,” katanya yang tiba dari Sabah kelmarin untuk mengikuti prosiding membabitkan bekas menantunya di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.
Mahkamah memerintahkan Rosmaini, peniaga yang didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiganya sehingga koma tiga tahun lalu, membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie dalam kes berkenaan.
Prosiding di hadapan Hakim Fatimah Zahari turut dihadiri dua anak Nordin, Fauziah dan Fazariah, selain peguam pemerhati mewakili keluarga mereka, Muhammad Hazeem Mohd Norizan.
Rosmaini dihadapkan kali pertama di mahkamah pada 17 Jun 2021, namun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Jahidah dengan memukul kepala, muka dan tangan serta menghentak kaki pada belakang badan mangsa sehingga wanita itu cedera parah.
Tertuduh yang didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Jalan Tani, Kampung Aman, Larkin, kira-kira jam 6 pagi 4 Mei 2021, dituduh mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
Seksyen 325 memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan, manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara bagi tempoh dua kali ganda tempoh maksimum mengikut seksyen kesalahan.
Kes Jahidah menggemparkan negara kerana dia dilaporkan hamil ketika kejadian sebelum selamat melahirkan bayi lelaki, Eshan Nufail secara pembedahan pada 30 November 2021. Dia dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban selepas rawatan awal di unit rawatan rapi Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
Sementara itu, Nordin yang sempat melawat melawat Jahidah di Sendayan, Seremban semalam mengakui sebak mengenangkan nasib Eshan Nufail yang tidak mendapat kasih sayang ibu seperti sepatutnya.
“Keadaan Jahidah membuatkan saya sebak melihat penderitaan ditanggungnya, cucu pula tidak dapat kasih sayang ibu seperti sepatutnya. Namun lega dan bersyukur apabila mahkamah memerintahkan bekas menantu membela diri dalam kes ini,” katanya.
Leave a Reply