KONSERT Sifu & Aku yang bakal berlangsung di Sabah International Convention Center (SICC) 3 Februari depan adalah pentas penyatuan dua insan seni yang saling berguru. Empat dekad lamanya, mereka menyumbangkan bakat seni.
Namun penyanyi legenda, Datuk Hattan punya agenda lain selepas itu. Agenda yang bakal mematahkan hati peminat industri muzik tempatan. Senyapnya Hattan dalam tempoh beberapa bulan ini rupanya bersebab.
Ada kekecewaan yang dipikul sendiri, membuatkan dia merasakan tempoh perjuangannya sudah hampir tamat. Lantas adakah pengunduran diri jalan terakhir? Benarkah dia sudah tidak ada daya untuk berjuang lagi?
Jawablah mendapatkan Hattan. Mengorek kekecewaannya dan mendapatkan kebenaran, adakah dia bakal bersara? Hattan, Jawablah!
J: Sebelum ini Hattan sering dilihat sebagai seorang yang lantang bersuara berhubung isu isu dalam industri seni, tetapi sekarang macam lebih memilih senyap? Mengapa?
H: Sebenarnya senyap itu tidak bererti tidak peduli. Ini rumah kita, kita peduli. Tetapi saya sebenarnya kecewa dengan permainan yang ada dalam industri seni. Saya rasa perjuangan saya tidak dihargai.
Kadang-kadang saya rasa seperti berjuang sendiri, tidak ada yang datang menyokong. Jadi, daripada saya bersuara tetapi tidak mendatangkan faedah, lebih baik saya diam. Fokus perniagaan dan sampai masa, kita undur diri.
J: Undur diri? Apa maksud Hattan bila mengungkapkan perkataan undur diri? Adakah ini bermaksud Hattan akan bersara?
H: Saya sudah ‘penat’. Penat berjuang namun tidak dilihat. Bukan diri sendiri, tetapi perjuangan yang saya oborkan. Mungkin selepas satu lagi konsert di Kuala Lumpur, selepas Aidilfitiri, saya akan perlahan-lahan mengundurkan diri.
Ya, bersara. Saya mahu fokus kepada perniagaan. Sudah tidak mahu lagi melibatkan diri dalam konsert atau persembahan berskala besar. Sudah tiba masanya pun. Biarlah saya ‘senyap’ sahaja.
Lagipun impian saya untuk sepentas dengan sifu saya, Datuk M. Nasir akan terlaksana bulan hadapan di Sabah. Itu yang saya betul-betul impikan sejak mula pembabitan dalam dunia seni hampir empat dekad lalu.
J: Tak sayang industri seni kah? Atau terlalu kecewa sehingga bersara adalah ‘perjuangan’ terakhir?
H: Sayang itu sentiasa ada, tetapi dengan apa yang industri muzik sedang raikan, saya kecewa. Saya bukan tidak suka pemuzik negara seberang, saya meraikan seni tidak kira dari ceruk mana. Namun, dalam pada masa sama, pemuzik kita dianak tirikan.
Tidak ada langsung garis panduan pelaksanaan konsert sehingga pemuzik mereka saban minggu hadir mengadakan persembahan berskala besar di sini. Manakala kita? Ada ke? Harap Exist tempoh hari.
Sepatutnya kita l;ebihkan pemain industri muzik lokal tetapi sekarang, orang luar yang dilihat ke depan. Jadi daripada saya bercakap tak tentu arah, lebih baik berhenti sahaja. Bersara dari dunia muzik.
J: Persediaan menjelang konsert Sifu & Aku? Gementar tak sepentas dengan sifu? Mungkin tidak sebab kalian sudah bersahabat lama dan pernah sepentas tetapi ini adalah impian Hattan sendiri, gugup tak?
H: Gementar itu ada, mestilah tetapi saya sudah biasa dengan dia (M. Nasir). Ini kali pertama saya dan dia bergandingan di atas pentas berskala besar, di negeri Di Bawah Bayu pula itu. Satu impian jadi kenyataan.
Banyak saya belajar dengan dia. Daripada kosong, sehinggalah sekarang. Daripada jadi pengurus pentas konsert pertamanya sehinggalah sepentas dengannya. Cukup sudah, impian saya bakal terlaksana.
J: Menjelang konsert, apa yang penonton bakal saksikan? Ada kejutan? Penampilan khas?
H: Kejutan? Ini adalah antara konsert terakhir saya. Selepas ini kita akan ke Kuala Lumpur dan itu yang terakhir. Saya mahu dedikasikan seluruh jiwa dan cinta seni saya di atas pentas ini. Empat dekad yang penuh cerita, warna-warninya.
Leave a Reply