Seberat mana sekalipun beban penderitaan dan kesedihan yang ditanggung, namun, sebagai manusia waras dan berjiwa besar, Zulkarnain Idros memilih menghulur salam perdamaian buat mereka yang telah menyebabkan kematian anaknya, Zulfarhan Osman.
Jauh di sudut hatinya, Zulkarnain, 57, sudah memaafkan kesemua tertuduh yang juga rakan sepengajian anaknya di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
“Secara jujurnya, saya maafkan tertuduh yang buat anak saya. Bila saya maafkan, mungkin ada kelegaan di hati,” itu suara hati Zulkarnain yang dikongsi dengan wartawan dalam sidang media di pekarangan kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Selasa.
Pada awalnya, Zulkarnain mengakui berat untuk menjawab soalan tersebut namun selepas empat tahun, akhirnya kemaafan ‘menjentik’ hatinya.
Begitupun, dia tetap melahirkan rasa terkilan kerana dakwanya, hanya satu keluarga tertuduh datang bertemunya dan memohon maaf.
“Keluarga tertuduh, mereka tidak datang jumpa saya, tak minta maaf dengan saya kecuali satu keluarga yang datang jumpa saya minta maaf.
“Seolah-olah anak saya pula yang bersalah. Janganlah begitu, janganlah memutuskan silaturrahim,” katanya.
Dalam masa sama, Zulkarnain juga menitipkan pesanan kepada orang awam supaya tidak menjadi pembuli.
“Saya pesan kepada masyarakat di luar sana, jangan jadi pembuli.
“Contohnya seperti saya, kalau buli membahayakan masyarakat menghilangkan nyawa, kesannya kepada kedua ibu bapa… saya kehilangan anak sulung yang menjadi harapan keluarga,” luahnya.
Allahyarham Zulfarhan Osman yang menuntut di UPNM maut dalam insiden menyayat hati empat tahun lepas.
Leave a Reply