Rindu 10 Tahun Akhirnya Terbalas! Noor Kumalasari Terg4mam Dengar Suara Anita Sarawak

Siapa sangka, dah berkurun lama menunggu berita tetapi tiada khabar, akhirnya dapat juga berhubung semula dengan yang tersayang.

Itulah yang dirasai oleh bintang veteren, Noor Kumalasari, 67, apabila dapat berhubung semula dengan kakaknya yang juga penyanyi bertaraf superstar, Anita Sarawak, 71, pada 1 Syawal lalu.

Memetik laporan Berita Harian, kebiasaannya Noor Kumalasari atau lebih mesra di sapa Noor dan keluarga akan berkumpul beramai-ramai di kediaman kakaknya, Noraini untuk berbual dengan Anita pada pagi Syawal, namun ia tidak berlaku sejak hampir 10 tahun lalu.

Tetapi lain pula bagi tahun ini kerana baginya Syawal tahun ini paling bermakna apabila menerima panggilan Anita atau lebih dikenali sebagai Kak Nita dari Las Vegas, hanya perkataan syukur dapat diungkapkan olehnya.

“Sayalah insan paling gembira menyambut Syawal, tahun ini. Manakan tidak, panggilan yang dinantikan bertahun-tahun tentulah daripada Kak Nita.

“Kami akrab dan membesar bersama sejak kecil, jadi ikatan kekeluargaan tetap utuh biarpun arwah ibu bapa sudah tiada lagi.

“Memang saya sangat merindui Kak Nita. Inilah berkat bulan Syawal yang mulia apabila doa dimakbulkan Allah.

“Alhamdulillah, dapat juga saya berbual dengan Kak Nita, bergelak ketawa, usik mengusik dan berkongsi pelbagai cerita selama setengah jam,” katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Mata dan Hati Seorang Kekasih itu berkata, dia agak lambat datang ke rumah kakaknya, Noraini pada Aidilfitri, tahun ini.

“Menjadi kebiasaan saya akan mengunjungi Noraini pada Syawal pertama, tetapi saya sampai agak lewat disebabkan berada di rumah abang ipar terlebih dahulu.

“Setiba di rumah Noraini, saya solat Asar terlebih dahulu. Ketika itulah, Noraini menerima panggilan Kak Nita dari Las Vegas.

“Noraini memberitahu Kak Nita, saya berada di rumahnya, tetapi sedang bersolat. Tak sangka Kak Nita sanggup menunggu saya habis solat dan menunggu untuk berbual dengan saya.

“Saya amat terkejut apabila Noraini memberitahu Kak Nita menanti di talian. Dalam keadaan tergamam, saya dengar suara Kak Nita di hujung talian.

“Suara Kak Nita sedikit berbeza, tetapi itulah suara yang amat saya rindui,” katanya.

Bintang filem Menanti Hari Esok, Tiada Esok Bagimu dan Esok Untuk Siapa ini mengakui, banyak perkara yang dibualkan, terutama kenapa tidak berhubung sejak membawa diri ke Las Vegas pada penghujung 2010.

“Saya dan Kak Nita suka berseloroh, tentulah isu utama yang kami bualkan kenapa tidak berhubung sejak pulang ke Las Vegas.

“Kak Nita beritahu ada menghubungi saya untuk mengucapkan selamat hari ulang tahun seperti kebiasaannya, tetapi saya tidak menjawab panggilan.

“Saya pula katakan ada menghantar mesej kepadanya, tetapi tiada balasan. Pusing-pusing itulah cerita yang kami persoalkan selama beberapa minit.

“Kak Nita juga terfikir-fikir kenapa tidak dapat menghubungi saya. Kali terakhir kami berbual seminggu sebelum Kak Nita berlepas ke Las Vegas.

“Bagaimanapun, benarlah pepatah Melayu, air yang dicincang tidak akan terputus, begitu juga ikatan persaudaraan adik-beradik,” katanya.

Noor berkata, dia tidak sempat berbual dengan suami Kak Nita, Mahathir Abdullah kerana terlalu teruja berkongsi cerita dengan kakaknya itu.

“Kak Nita beritahu, dia dan Mahathir gembira menjalani hidup sebagai orang biasa, bukan lagi berstatus selebriti di Las Vegas.

“Kak Nita sempat mengusik saya, adakah masih suka berjubah hitam seperti kebiasaannya.

“Sudah tentu saya masih kekal dengan penampilan wanita muslimah, cuma tidaklah berjubah hitam selalu, sedikit moden.

“Namun, Kak Nita berkongsi, dia belum bertudung dan penampilan tetap sama, cuma badannya agak berisi,” katanya.

Tambah Noor, Kak Nita ada berkongsi, kehidupannya tidak sesibuk ketika bergelar selebriti.

“Pada usia 71 tahun, Kak Nita merasakan kehidupannya kini lebih tenang dan relaks tanpa terikat dengan tuntutan kerja.

“Ia juga membuatkan berat badannya naik. Kak Nita kini makin selesa menjalani kehidupan seperti orang biasa,” katanya.

Terdahulu, kehilangan Kak Nita dari radar dunia hiburan menimbulkan 1,001 persoalan yang berlalu tanpa jawapan pasti.

Jejak Kak Nita dan Mahathir sukar dihidu, malah, tiada siapa berjaya menyelongkar kehidupan sebenar penyanyi yang popular menerusi lagu Akhirnya Kini Pasti dan Seksis itu selepas menghilangkan diri pada penghujung 2010.

Selama lebih sedekad berlalu pelbagai spekulasi bertebaran, malah, mula timbul cerita rekaan ditokok-tambah bagi menghangatkan tragedi ‘kehilangan’ anak kepada seniman Allahyarham Datuk S Roomai Noor dan seniwati Allahyarham Siput Sarawak itu.

Memegang utuh nilai persahabatan selama lebih 30 tahun, Kak Nita atau nama sebenarnya, Ithnaini Mohd Taib dalam diam menghubungi rakan baik yang juga bekas wartawan hiburan The New Straits Times (NST), Shuib Taib, tahun lalu.

Namun, berita mengenai Kak Nita menghubungi Shuib dan bekas editor hiburan yang juga penulis lirik dan skrip, Roslen Fadzil pada Syawal tahun lalu terbongkar serta tular dalam media sosial.

Malah, kebanyakan portal hiburan tempatan dan antarabangsa melaporkannya hingga menjadi ‘trending’ di seluruh dunia.

Tiga kali pelakon filem Dua Kali Lima dan Diva Popular itu menghubunginya, namun, Shuib terpaksa mengunci mulut demi akur janji, amanah dan pesanan Kak Nita agar cerita mengenainya tidak dikongsi serta diuar-uarkan

Shuib mendedahkan, Kak Nita memberitahunya Allah tunjuk satu persatu kejadian yang berlaku dalam masa serentak sehingga membuatkan hatinya tekad pulang ke Amerika Syarikat.

“Apa yang dapat dikatakan, ada berlaku beberapa kejadian yang membuatkan Kak Nita terlalu kecewa. Allah tunjuk satu persatu dalam masa sama.

“Yang pasti, itulah masa yang sesuai untuknya mengundurkan diri pada saat pulang ke Amerika Syarikat.

“Jadi, pemergian Kak Nita pada 2010 adalah masa yang sudah tertulis buatnya mengucapkan selamat tinggal kepada dunia seni,” katanya secara eksklusif kepada BH Online, tahun lalu.

Sumber : BH

PERHATIAN: Pihak kami tidak akan bertanggungjawap langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawap anda sendiri. Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*