
SEORANG kanak-kanak berusia tiga tahun maut dipukul oleh teman lelaki ibunya, hanya kerana muntah atas sofa.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, wanita berusia 24 tahun dan teman lelakinya berusia 31 tahun ditahan pada Jumaat bagi membantu siasatan.
Christopher berkata, mangsa dihantar ke rumah teman lelaki ibunya di Cheng, Melaka oleh ibu kandung mangsa untuk berubat jam 5.30 pagi Khamis selepas dikatakan kerap muntah.
Kanak-kanak itu tidak sihat dan teman lelaki ibunya sepatutnya membawanya ke klinik.
Bagaimanapun katanya, 40 minit kemudian, suspek menghubungi ibu mangsa memaklumkan anaknya terjatuh dan tidak sedarkan diri sebelum kedua-dua mereka membawa mangsa ke hospital.
“Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami, pada pukul 9.15 pagi Khamis,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Christopher berkata, laporan bedah siasat menunjukkan kanak-kanak itu meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan badan selepas dipukul dan ditendang.
Beliau berkata, polis menahan kedua-dua pasangan itu di hospital berikutan hasil laporan bedah siasat.
Menurut Christopher, siasatan awal mendapati suspek memukul mangsa selepas mangsa muntah atas sofa.
Beliau berkata, perintah reman selama tujuh hari terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Mahkamah Majistret di Ayer Keroh di Melaka, pada Jumaat.
Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sumber:mstar
PERHATIAN: Pihak kami tidak akan bertanggungjawap langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawap anda sendiri.
Leave a Reply