QSR Brands (M) Holdings Bhd, pemegang francais restoran KFC di Malaysia, mengambil langkah proaktif untuk menutup sejumlah kedai buat sementara waktu untuk menguruskan peningkatan kos perniagaan dan memberi tumpuan kepada zon perdagangan yang mempunyai pembabitan tinggi, sebagai tindak balas kepada keadaan ekonomi semakin mencabar.
QSR Brands dalam kenyataan pada Isnin berkata, bagaimanapun, pekerja di kedai yang terjejas (ditutup) sudah ditawarkan peluang untuk berpindah ke cawangan lain, sebagai sebahagian daripada strategi taktikal mengoptimumkan sumber dalam zon perdagangan dengan keterlibatan pelanggan yang lebih tinggi.
Katanya, menyumbang secara positif kepada masyarakat Malaysia, mengekalkan kecintaan jenama terhadap KFC dan melindungi pekerja adalah keutamaan bagi organisasi itu.
Katanya, ia juga menyumbang secara positif kepada ekonomi Malaysia melalui jaminan pekerjaan untuk 18,000 ahli pasukan di Malaysia, yang mana, kira-kira 85 peratus adalah Muslim.
“QSR Brands terus menjadi antara pembayar cukai terbesar di Malaysia dan berbangga kerana dapat memberi kembali kepada masyarakat melalui KFC Add Hope dan Dana Zakat Wakalah.
“Kami amat percaya rakyat Malaysia akan mengiktiraf asal usul kami, keikhlasan kami dan kerja keras kami dalam menyumbang kepada ekosistem Malaysia,” katanya.
QSR Brands menjawab mengenai laporan yang menyatakan lebih 100 cawangan KFC ditutup.
QSR Brands ialah syarikat tempatan dimiliki oleh usahawan Malaysia yang mengendalikan perniagaan 850 restoran francais KFC di Malaysia, Singapura, Brunei dan Kemboja, juga lebih 480 restoran Pizza Hut di Malaysia dan Singapura.
Leave a Reply