Sharif & Syaiful umumkan hadiah juara Famili Duo RM100,000 akan diderma kepada..

Shah Alam: Menepati jangkaan, pasangan duo adik-beradik, yang dianggotai Syaiful dan Sharif Zero diumumkan sebagai juara program Famili Duo musim ketiga (FD3) yang melabuhkan tirainya malam tadi sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000.

Syaiful dan Sharif menghiburkan penonton dengan mempersembahkan lagu Kong Kali Kong dalam segmen pertama serta medley lagu Lemak Manis, Umpan Jinak Di Air dan Joget Angan Tak Sudah sekali gus mengumpul markah ‘Perfect 10’ sebanyak dua kali dari juri.

“Tangisan ini adalah tangisan kepuasan selepas setiap minggu kami memberikan yang terbaik dalam persembahan. Kalau diberikan peluang, kami ingin teruskan menghiburkan anda,” kata Sharif.

Syaiful dan Sharif yang sebelum ini tiga kali mencatat kemenangan sebagai juara mingguan turut diiringi adik mereka, Atu serta tiga rakan pelawak lain iaitu Danial Zaini, Fad dan Namie dalam segmen kedua.

Selain Syaiful dan Sharif, pentas akhir FD3 turut menyaksikan persembahan dua finalis lain iaitu pasangan sepupu Haqiem Rusli dan Ariff Bahran serta pasangan adik-beradik Adira dan Emma Suhaimi.

Penonton turut dihiburkan dengan persembahan pasangan suami isteri, Syamel dan Ernie Zakri menerusi lagu berjudul Lagu Rindu dan Selangit.

Program FD3 disiarkan secara langsung di TV3 diacarakan pasangan pengacara, Izzue Islam dan Janna Nick serta menampilkan Ajai dan Mas Idayu sebagai juri.

Menganggap percaturan mereka dalam merebut kejuaraan Famili Duo musim ketiga berhasil, pasangan adik-beradik, Sharif dan Syaiful merasakan mereka masih terlalu kerdil untuk dibanding dengan pasangan duo yang lain.

Jelas Sharif, tiada istilah mereka berjaya menewaskan duo lain, Adira dan Emma Suhaimi serta Haqiem Rusli dan Ariff Bahran kerana masing-masing mempunyai kekuatan dan kehebatan sendiri.

“Mungkin kejayaan kami hasil daripada usaha kami menambat hati juri dan penonton menerusi persembahan. Kami sebenarnya tak jangka langsung. Kalau tengok peserta lain, berapa tiang kami ketinggalan.

Ads by Kiosked
“Kami sekadar mahu menghiburkan, tetapi Tuhan permudah rezeki. Kalau kata hendak tewaskan mereka, tidak pernah terlintas dan rasanya tak mungkin dapat kot. Jauh gila beza kami dengan mereka.

“Tetapi Alhamdulillah, di pentas lawak orang terima dan di pentas nyanyian juga orang terima. Tadi bila penonton di studio berdiri menyanyi bersama, kami sebak dan terharu sangat,” ujarnya.

Selepas lapan minggu berjuang, Sharif dan Syaiful menepati ramalan apabila dinobatkan sebagai juara Famili Duo musim ketiga, malam tadi.

Kemenangan tersebut melayakkan mereka membawa pulang trofi dan wang tunai RM100,000 pada kemuncak pertandingan realiti tersebut.

Membawakan lagu Kong Kali Kong nyanyian asal Floor 88 dan medley lagu tradisional untuk pusingan kedua, duo tersebut berjaya memukau juri dan penonton, sekali gus mengetepikan persaingan dua pasangan lain untuk muncul juara.

Sementara itu, Sharif dan Syaiful bakal melaksanakan janji mereka untuk menyumbang sebahagian daripada wang kemenangan tersebut kepada tabung Palestin di bawah kelolaan Yayasan Nurjiwa.

“Insya-Allah, sebahagian wang kemenangan ini dan mingguan akan disalurkan untuk tabung Palestin. Itu adalah janji dan niat kami. Alhamdulillah, Tuhan balas dengan kemenangan ini.

“Bukanlah kami mengharap balasan tetapi kini saya dapat lihat sendiri, betapa agungnya kasih Allah kerana memberi kami rezeki untuk dikongsi kepada mereka yang sedang menderita.

“Kami akan maklumkan berhubung sumbangan tersebut di media sosial dalam masa terdekat,” ujarnya.

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*