Allahu, perit rupanya trauma yg isteri pernah lalui, suami wanita lggr 4 pljr Uitm dedahkan INI.

DUNGUN : “Saya menangis dan sangat sedih melihat kemalangan itu, saya mewakili isteri saya ingin memohon maaf dari hujung rambut hingga ke hujung kaki dan bersujud kepada semua ahli keluarga pelajar yang terbabit.

“Memang niat saya malam itu juga nak pergi minta maaf kepada semua ahli keluarga pelajar terbabit namun hasrat itu terpaksa saya tangguhkan atas nasihat pihak berkuasa dan rakan-rakan,” kata Azhar Ahmad.

Azhar, 53, yang juga suami kepada pemandu Honda CRV yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan tiga pelajar Universiti Teknologi Mara UiTM Dungun, dalam kejadian di hadapan kampus terbabit di Sura Hujung, malam kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 7.20 malam itu, mengorbankan tiga pelajar iaitu, Ku Adib Aizab Ku Azmi, 20; Khairul Anwar Jamaludin, 20, dan Muhammad Akhmal Md Tukirin, 25, sementara seorang lagi rakan mereka Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, mengalami kecederaan di bahagian pinggang dan masih dirawat di Hospital Dungun.

Azhar berkata, isterinya, sebelum itu adalah seorang isteri yang sangat baik, penyayang kepada anak-anak dan suami.

“Ketika mengandung anak ke empat 10 tahun lalu, doktor mengesahkan isteri saya mengandung di luar rahim dan terpaksa digugurkan kandungan itu.

“Ketika mendapat rawatan di Hospital Kuala Terengganu, dia koma selama empat hari dan kehilangan banyak darah,” katanya.

Beliau berkata, selepas sedar dari koma, isterinya itu mula mengalami gangguan dan sering berhalusinasi dan bercakap bersendirian.

“Saya sudah puas berubat termasuk secara tradisional. Apa saya arahan daripada tukang berubat saya buat semuanya, namun semuanya tidak berhasil.

“Walaupun dia begitu, namun isteri saya itu tetap dengan tanggungjawab mengemas rumah, memasak dan tidak suka keadaan rumah dan bersepah.

“Dia juga sangat penyayang dengan anak cucu dan sering membeli serta memasak makanan untuk mereka ,” katanya yang sudah 30 tahun berkahwin dengan wanita itu.

Katanya, pada hari kejadian itu, sebaik selesai solat maghrib bersama anak bongsunya, dia terkejut apabila mendapati isterinya yang sebelum itu menonton televisyen tiada di ruang tamu.

“Saya dapati pintu pagar rumah terbuka dan ketika itu juga saya perasan dua pasang kasut isteri dan sehelai pakaiannya tiada di rumah.

“Dia tidak pernah keluar waktu malam, kalau keluar mesti ditemani saya dan anak-anak.

“Kalau keluar pun waktu siang dan dia akan memandu dan pergi minum di kedai kegemarannya tidak jauh dari kampus itu,” katanya.

Beliau menjelaskan pada malam kejadian itu, pada mulanya hendak terus pergi mencari isterinya itu, namun memandangkan waktu isyak hampir, dia mengambil keputusan untuk solat Isyak terlebih dahulu.

“Tak sampai beberapa minit, saya dihubungi rakan memaklumkan kereta saya terbabit kemalangan dan saya ajak anak bongsu saya terus ke tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, dia sangat terkejut melihat keadaan mayat seorang pelajar berada di atas jalan.

“Saya ingat seorang mangsa, rupanya tiga orang. Saya sangat sedih melihat keadaan itu. Selepas isteri saya dibawa anak masuk ke kenderaan polis, saya pergi ke lokasi mayat terbabit dan mencari ahli keluarga mangsa untuk memohon maaf dan dimaklumkan kesemua mangsa orang luar dari Dungun.

“Saya segera meninggalkan lokasi kejadian selepas diarahkan pihak polis ke balai untuk diambil keterangan,” katanya.

Katanya, pagi semalam dia sekali lagi hendak pergi bertemu keluarga mangsa di Bilik Forensik Hospital Dungun namun dinasihatkan kerana bimbang berlaku kekecohan.

“Saya sangat kesal dengan kejadian itu, mungkin ketika itu dia (isteri) seolah-olah dipanggil untuk segera keluar dari rumah.

“Tiada siapa mahu kejadian sebegini, saya dah sorok kunci kereta namun perkara ini tetap terjadi,” katanya.

Azhar berkata, dia berharap supaya pihak pengurusan UiTM dapat membantunya untuk bertemu dengan kesemua ahli keluarga mangsa yang terbabit.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*