Kuala Lumpur: Pelakon Nad Zainal terus menjadi perhatian susulan kemelut persahabatannya dengan beberapa rakan artis yang sebelum ini erat dan banyak membantunya ketika sakit, namun dilupakan selepas dia kembali sihat.
Selain Nabila Huda, pelakon Sharifah Sakinah, 34, tampil berkongsi luahan di Instagram yang menjelaskan dia kini tidak lagi mempunyai apa-apa hubungan dengan pelakon drama Cina Buta itu.
Menariknya, dalam hantaran itu, Sakinah berkongsi semula doa yang pernah ditujukan kepada Nad ketika koma serta harapan positif untuk menunggu sahabatnya itu sedar semula kerana disifatkan seorang istimewa.
“Mari kita ketuk pintu yang sama, membawa amin paling serius seluruh dunia. Kepada kesayangan saya, Nanad (panggilan Nad Zainal), awak kuat, awak istimewa dan penyayang.
“Kami semua di sini mendoakan untuk awak dengan penuh harapan dan menunggu. Awak dalam perjuangan ketika kami semua teruskan berdoa,” tulis Sakinah.
Bagaimanapun, di bahagian kapsyen foto, Sakinah memberi bayangan bahawa semua doa yang pernah dititip buat Nad ketika koma di hospital, tahun lalu sudah boleh dipadam dan mereka mungkin bertemu semula di alam lain (akhirat).
“Dah boleh delete (padam) hantaran ini. Saya jumpa awak di alam lain. Di situ tiada radar. Berkata-katalah dari dalam hati, letakkan kaki anda di bumi.
“Fikiran narsistik, kata-kata palsu dan penafian akan menjadi takdir anda,” tulisnya sinis yang membawa maksud mendalam sebagai satu peringatan.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata warga maya berkongsi perasaan sedih apabila sahabat yang dibantu dengan doa ketika ditimpa ujian kesihatan, akhirnya dilupakan begitu saja.
“Sedih dengan ‘statement’ (kenyataan) dia, tak sangka dia akan cakap macam itu, tapi dunia ini berputar, doakan terbaik buat dia dan bayi,” tulis netizen.
“Masa koma tu, roh dia tertukar kot,” tulis seorang lagi warganet berserta emoji ketawa.
“Aku sedih! Kak Kinah” tulis netizen yang ikut simpati dengan luahan Sakinah.
“Patut ada orang jumpa depan-depan nampak dia ‘kekwat’ (berlagak). Betul la apa orang cakap,” komen netizen lagi.
Nama pelakon Nad Zainal menjadi perbualan hangat dalam kalangan warganet apabila rakan-rakan selebriti tampil membalas kenyataan yang dikeluarkannya dalam sebuah temubual sebelum ini.
Susulan itu, suami Nad iaitu pelakon Ungku Ismail berkongsi kata nasihat mengenai kontroversi yang melanda isterinya itu di Instagram Storiesnya (IGS).
Ungku Ismail dilihat menitip nasihat buat individu yang dilabel sebagai korban para penggosip tanpa meninggalkan sebarang kapsyen dan memetik mana-mana nama individu yang ingin ditujukan.
“Catatan kecil untukmu yang jadi korban para penggosip,” kongsinya.
Sebelum ini, Nad menyatakan bahawa dia tidak kisah jika kehilangan rakan dari radar dan kata-katanya itu seperti menyinggung perasaan beberapa rakan selebriti seperti Nabila Huda dan Sharifah Sakinah.Isu ‘tarik muka’ antara Nad serta beberapa rakan artis menjadi bualan ramai selepas pelakon residen Radius One Production itu pulih daripada koma dan sebelum berkahwin kali kedua dengan pelakon Ungku Ismail pada Januari lalu.
Difahamkan Nad yang kini sarat hamil anak ketiga juga dikatakan lebih memilih membuat perkongsian video dan sebarang penjelasan isu di TikTok yang turut disertai suami tersayang.
Leave a Reply