Suri rumah didakwa pukul suami curang guna kayu besbol, pecahkan cermin kereta BMW mangsa

Seorang suri rumah dihadapkan ke dua mahkamah berasingan, di sini, masing-masing atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap suaminya dengan menggunakan kayu besbol untuk menyerang yang mungkin menyebabkan kematian, dan memecahkan cermin kereta jenis BMW milik mangsa pada November tahun lalu.

Tertuduh, Lim Siow Leng, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan di hadapan Hakim Irwan Suainbon di Mahkamah Sesyen, hari ini, dan Majistret Fatin Dalilah Khalid di Mahkamah Majistret, semalam.

Di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan terhadap suaminya berusia 42 tahun dengan menggunakan kayu besbol untuk menyerang yang mungkin menyebabkan kematian, kira-kira jam 9.20 pagi 5 November tahun lalu di sebuah kilang, di sini.

Ibu kepada empat anak itu dituduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama bawah Seksyen 326A KK.

Seksyen 324 KK memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu, manakala Seksyen 326A pula membawa hukuman penjara selama dua kali ganda tempoh maksimum pemenjaraan untuk kesalahan bawah seksyen berkaitan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sulehan Abd Rahman, manakala tertuduh tiada diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa kesalahan dilakukan tertuduh tidak boleh diikat jamin, namun terpulang kepada budi baca hakim untuk membenarkannya.

Selepas mendengar hujahan pendakwaan dan rayuan tertuduh, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin, serta menetapkan 20 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu di Mahkamah Majistret, Siow Leng didakwa melakukan khianat dengan memecahkan cermin kenderaan jenis BMW milik suaminya yang membabitkan kerugian dianggarkan berjumlah RM15,233, kira-kira jam 9.40 pagi 5 November tahun lalu di lokasi sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan dan boleh dihukum bawah Seksyen 427 KK, iaitu penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Arif Marzuki, manakala tertuduh juga tiada diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,800 dengan seorang penjamin, serta menetapkan 26 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Berdasarkan laporan polis, tertuduh yang kini dalam proses perceraian dengan suaminya, dikatakan berang apabila mendapati lelaki bekerja sendiri itu didakwa menjalin hubungan sulit dengan seorang wanita warga asing.

Susulan itu, tertuduh didakwa mengambil sebatang kayu besbol lalu memukul alat sulit suami sehingga mangsa berdarah dan terpaksa menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, di sini.

Selain itu, wanita berkenaan juga didakwa memecahkan cermin kereta suaminya dengan menggunakan peralatan sama, sebelum laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*