Dituduh Berhimpit Cium Hajarul Aswad Demi Konten, Hafiz Mahamad Mohon Maaf! – “Ia Dirakam Atas Dasar Kenangan”

Nama usahawan dan pencipta kandungan, Hafiz Mahamad, baru-baru ini menjadi sebutan warganet selepas video kontroversi memperlihatkan dirinya ‘bergelut’ untuk mencium Hajarul Aswad tular di media sosial.

Tidak berdiam diri, Hafiz memuat naik satu entri menjelaskan sebab disebalik perkongsian hantaran itu di media sosial.

Menurut Hafiz, posting yang dibuat tersebut bukanlah untuk tujuan mencipta konten, tetapi hanya sekadar kenangan antara dirinya bersama kumpulan pekerjanya ketika berada di Mekah.

“Bukanlah saya tak fikir waktu saya kongsi tu, maklum balas yang saya dapat positif, sebab saya yang faham apa yang saya kongsikan, jadi saya rasa semuanya tak ada apa-apa.

“Tapi manusia ada pemikiran dia, pandangan orang berbeza-beza, jadi saya rasa daripada orang bertelagah tentang pendapat ataupun persepsi, saya ‘takeout’ video.

“Niat saya bukanlah kerana konten, kami fokus ibadah dan bila rekod benda tu tidaklah sehingga ibadah lain terabai, jadi benda tu dirakam oleh pasukan saya atas dasar kenangan, video tu di mana, kamera tu dimana, itu pasukan saya yang ambil,” jelasnya.

Sementara itu, Hafiz pada akhir videonya sempat mendedahkan bahawa dirinya mengambil kritikan dengan hati terbuka serta memohon maaf sekiranya menimbulkan rasa kurang senang mana-mana pihak.

“Saya tak marah siapa-siapa yang komen agresif, saya tahu awak punya pandangan berbeza-beza, saya faham keadaan itu.

“Saya minta maaf sangat-sangat jika ada melukakan mana-mana pihak, niat saya berkongsi, pada saya itu adalah manfaat, cuma ada banyak persepsi dan terima kasih banyak-banyak,” katanya.

Terdahulu, Hafiz memuat naik video menunjukkan dia berusaha keras membantu sekumpulan pekerjanya termasuk jemaah wanita untuk mencium Hajar Aswad sewaktu mengerjakan umrah.

Bagaimanapun menerusi video berdurasi tiga minit itu, keadaan kelihatan bersesak-sesak sehingga sebahagian kain ihramnya terbuka.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*